Thursday, June 05, 2008

Jumaat oh Jumaat

Masjid W.P.Labuan

Bismillah.

Hari ini hari Jumaat. Seperti biasa masjid penuh dengan muslimin yang mengerjakan solat fardhu Jumaat. Khutbah hari ini berkisar mengenai Yang di-pertuan Agung sebagai ketua agama Islam di negara ini, serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Terngiang-ngiang di telingaku mendengar sahabat ku yang merungut tempoh hari tentang khutbah jumaat yang semakin 'kering' dan kurang menyentuh hati. Tidak salah jika khutbah membicarakan isu semasa tapi janganlah sampai meninggalkan 'makanan' hati dan mengabaikan keperluan 'ruhiyah' yang semakin tandus di dada kaum muslimin .

Hari yang istimewa ini yang mana semua muslim tidak kira miskin, kaya, tua dan muda serta kanak-kanak datang berkumpul, perlulah dimanfaatkan sepenuhnya. Apa yang dimaksudkan di sini adalah kini semakin kurangnya pengisian tentang akidah, ibadah, sirah nabawiyah atau kisah-kisah, peringatan yang menyentuh jiwa, meningkatkan iman dan memberi kesedaran yang tinggi. Teringatku pada khutbah yang disampaikan semasa berada di Perth di mana khutbah yang disampaikan (tanpa teks), secara jujurnya amat berkualiti, memberi kesan yang mendalam dan menginsafkan. Ini membuktikan walaupun masa penyampaian khutbah adalah pendek, namun ia mampu memberikan impak yang besar kepada jemaah jika isi dan mesejnya diteliti, dikaji dan bertepatan dengan keperluan rohani kaum muslimin dewasa ini.

Jadi perubahan dan 'evolusi' amatlah diharapkan supaya tiada lagi 'lena' yang panjang sepanjang khutbah, lalu pulang ke rumah atau tempat kerja tanpa mendapat apa-apa manfaat, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Cukuplah selama ini khutbah membentangkan mengenai isu-isu seperti keselamatan jalan raya, pembangunan negara, malah ada juga kempen memakan buah-buahan tempatan!

Wallahu'alam

No comments: